Saturday, 2 July 2005

Mi jijik! (Harian Metro, 2 Julai 2005)

Harian Metro, 2 Julai 2005)
Edisi Nasional: Mi jijik!
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ahmad Saufi Mansor

KUALA LUMPUR: Loya dan menjijikkan! Itulah ungkapan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika memeriksa sebuah kilang bihun dan laksa berlogo halal, bersebelahan kandang babi.

Pemeriksaan bersama kakitangan Kementerian Kesihatan mendapati kilang diKampung Selamat, Tasik Gelugor, Pulau Pinang itu dan kandang yang menempatkan berpuluh ekor babi hanya dipisahkan dengan kepingan zink .

Keadaan berkenaan menyebabkan bau najis binatang ternakan itu meresap masuk ke kilang terbabit yang membekalkan bahan makanan untuk diedarkan di seluruh negara dan dikatakan digemari pengguna Islam.

Sumber berkata, kilang yang dimiliki seorang pengusaha bukan Islam itu diserbu tengah hari semalam, selepas pihak berkuasa menerima aduan orang ramai. Operasi bersepadu itu disertai pegawai KPDNHEP, Jakim dan Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, pegawai penguat kuasa mendapati kilang berkenaan tidak hanya berkeadaan kotor, malah tidak diselia mengikut amalan pengilangan.

“Pemilik kilang sewenang-wenang menggunakan logo halal Jakim pada bungkusan bihun dan mi laksa tanpa kelulusan jabatan berkenaan. Perbuatan ini amat mengejutkan kerana produk bihun dan laksa terbabit begitu terkenal di kalangan pengguna Islam termasuk di Lembah Klang.

“Penemuan ini amat memeranjatkan, malah menimbulkan tanda tanya sama ada produk terbabit sah dimakan berikutan kedudukan tempat pemprosesan yang hanya terletak di sebalik kepingan zink daripada kandang babi,” katanya.

Difahamkan, Jakim hanya mengeluarkan logo halal berkenaan kepada sebuah kilang di Kuala Ketil, yang mengeluarkan produk sama.

Sumber itu berkata, pihaknya sedang menyiasat kaitan operasi kilang diserbu itu dengan satu lagi kilang di Kedah yang mengeluarkan produk sama.

“Walaupun proses pengilangan bahan makanan terbabit tidak membabitkan sumber haram, ia masih boleh menimbulkan keraguan dan rasa was-was berikutan kedudukannya terlalu hampir dengan ladang babi,” katanya.

Malah, pegawai kesihatan yang turut sama dalam operasi itu menghalang kilang terbabit daripada meneruskan operasi sehingga jabatan itu berpuas hati dengan tahap kebersihan dan kaedah pengendalian bahan mentah.

“Ini berikutan keadaan lantainya yang kotor, kaedah pemakaian seragam pekerja tidak teratur serta penemuan bahan makanan siap diproses di atas lantai,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal turut mendapati, ladang ternakan babi itu dibina terlebih dahulu sebelum kilang bihun dan mi laksa berkenaan dibuka beberapa tahun lalu.

Selain bakal dikenakan tindakan kerana beroperasi dalam keadaan kotor, pengusaha kilang terbabit boleh didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, berikutan tindakannya menggunakan logo halal tanpa kebenaran Jakim.

Dalam kejadian November tahun lalu, sebuah syarikat pengeluar pelbagai produk mi milik pengusaha bukan Islam disyaki menggunakan sejenis minyak mengandungi lemak babi untuk menghasilkan kuetiau lembut sebelum dijual menggunakan logo halal palsu kepada pengguna Islam di sekitar Lembah Klang.

Lebih memeranjatkan apabila kuetiau terbabit kemudian dibungkus menggunakan plastik biru yang tertera logo halal palsu dikeluarkan ‘Bahagian Hal Ehwal Islam Malaysia’ sebelum diedarkan kepada pengguna Islam melalui pasar basah sekitar Kuala Lumpur.

Kilang mi terbabit yang beroperasi di Kepong didakwa masih berdegil menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu walaupun sudah diberi amaran keras sebelum ini.

Siasatan mendapati sejenis minyak khas mengandungi unsur lemak babi kerap digunakan untuk menstabilkan lemak (emulsifier) khusus untuk menghasilkan kuetiau lembut dan halus.

No comments:

Post a Comment