Monday, 4 October 2010

USM WUJUD LALUAN KHAS BASIKAL UNTUK PELAJAR


PULAU PINANG, 29 Sept: Bagi memastikan kelestarian alam dan keseimbangannya kekal terpelihara, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif memperkenalkan laluan berbasikal pertama di kampus ini.

Berita: PRO? usm.my
Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

Pengenalan laluan berbasikal bagi tujuan rekreasi dan laluan ke kuliah ini adalah sebahagian daripada pengisian Kempen Dua Jam Tanpa Kenderaan yang kini masuk tahun kedua penganjurannya di USM.

Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor USM berkata laluan basikal yang pertama kali diperkenalkan di universiti ini dijangka dapat mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor di dalam kampus sekaligus mampu meminimumkan pengeluaran karbon monoksida yang menjejaskan alam sekitar.

“Usaha ini akan kita akan kita lakukan secara berperingkat dan ini bermula dengan fasa pertama laluan yang juga dikenali sebagai ‘Laluan Rekreasi’ meliputi kawasan Stadium USM, Desasiswa Aman Damai, Tasik Aman dan Tasik Harapan yang sejauh 1.5 kilometer,’ kata beliau ketika merasmikan ‘Pelancaran Laluan Berbasikal Pertama USM’ di Padang Kawad USM.

Beliau kemudiannya turut menunggang basikal bersama lebih 80 orang pelajar bagi menguji laluan tersebut.

Hadir sama dalam program itu ialah Prof. Dato’ Omar Osman, Timbalan Naib Canselor, (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) dan Ahmad Wafi Sahedan, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Pengarah Projek Laluan Berbasikal, Muhamad Hafiz Abu Kasim, 20, yang juga Exco Kebudayaan MPPUSM berkata pihaknya berharap laluan tersebut akan kelak dapat dikembangkan dan dinaiktaraf bagi membolehkan lebih ramai warga kampus mendapat manafaat darinya.

“Kami juga berharap agar laluan berbasikal ini kelak akan dapat digazetkan sebagai salah satu laluan rasmi dan MPP USM juga ingin mencadangkan agar pihak pengurusan universiti dapat mempertimbangkan kemungkinan mewujudkan tabung khas pinjaman bagi pembelian basikal kepada pelajar mangi mencabahkan lagi budaya menunggang basikal di kampus ini,” kata beliau.

DUA JAM TANPA KENDERAAN

Beliau yang kini sedang mengikuti pengajian dalam tahun dua Fizik Kejuruteraan berkata pihaknya juga mendapati Kempen Dua Jam Tanpa Kenderaan yang diadakan bermula pada jam 2.30 petang pada 28 dan 29 September 2010 ini menunjukkan kadar penurunan yang mendadak terhadap pergerakan kenderaan bermotor di dalam kampus.

Inisiatif tersebut yang bermula sejak tahun 2009 turut menjadikan USM sebagai universiti pertama di negara ini yang muncul dengan inisiatif sebegitu.

“Dari tinjauan yang dibuat, lebih 85% jumlah kenderaan berjaya dikurangkan dalam tempoh tersebut dan ini merupakan bukti bahawa masyarakat kita peka terhadap aspek penjagaan alam dan pengurangan karbon monoksida,” kata beliau.

Usaha sebegini, tambah beliau lagi, perlu dilaksanakan secara lebih kerap lagi bagi membolehkan hasrat universiti yang memperjuangkan tema kelestarian akan tercapai.

Prof. Dato’ Omar Osman ketika ditemui turut menyeru pelajar untuk menyalurkan idea-idea baru bagi memantapkan lagi Kempen Dua Jam Tanpa kenderaan ini yang lahir dari buah fikiran Naib Canselor.

"Sebagai menyokong kempen ini, pihak universiti turut menghentikan operasi bas komuter selain membantu pelajar di dalam pengedaran risalah bagi memberi kesedaran kepada warga kampus dan mereka yang mengunjungi kampus ini.

“Inisiatif ini diterajui oleh pelajar yang sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar dan inisiatif ini akan turut dikembangkan ke kampus-kampus USM di Nibong Tebal dan Kubang krian, Kelantan,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment